3/28/2009

Hedonism dan Permitivism


Penyakit Yang Menyebabkan Golongan Intelektual Rapuh

Pertumbuhan akademik negara ini memang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan peperiksaan PMR, SPM, dan STPM kini, jelas kita dapati bahawa lebih ramai lagi pelajar berjaya dengan cemerlang jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Hal ini turut berlaku di peringkat institusi pengajian tinggi negara apabila jumlah yang meningkat memasukinya dicatatkan. Situasi ini cukup positif bagi kita semua. Hal ini akan menyaksikan satu fenomena, iaitu berlakunya penyebaran keilmuan yang lebih luas. Lebih banyak lagi golongan intelektual yang akan muncul. Mereka akan memainkan peranan berdasarkan faktor kesedaran untuk memupuk masyarakat kita. Apatah lagi dengan keadaan globalisasi sekarang. Amalan globalisasi telah mendorong masyarakat kita terdedah dengan pelbagai ‘perkara baru’. Di sini, golongan intelektual bertanggungjawab untuk mengagihkannya kepada semua lapisan masyarakat. Namun, kita sedih melihat golongan intelektual pada masa kini. Memang jika kita lihat pada aspek keilmuan mereka, kita tidak nafikan keupayaan mereka. Cuba kita perhatikan pada sudut keakhlakan, ternyata rapuh dan hal ini membuatkan kita berasa sedih.

Bagaimana perkara ini berlaku sebenarnya? Adakah perkara ini berlaku disebabkan kelemahan yang dipraktikkan sistem pendidikan negara kita? Atau kelemahan sistem kekeluargaan negara ini yang menyebabkan kewujudan golongan intelektual yang retak keakhlakan mereka? Jika kita fikirkan sekali lagi, terdapat banyak masalah yang sama sekali boleh kita kaitkan dalam perkara ini. Salah faham dalam mendefinisikan “intelektual” itu sendiri merupakan salah satu pencetus kepada masalah ini. Kita sendiri pun tidak mengerti bagai mana ia boleh wujud daripada sana. Akan tetapi, kita faham bahawa masyarakat kita telah salah mentafsirkan “intelektual” termasuklah juga golongan pendidik di negara ini. Apa yang dilihat mengikut keadaan persekitaran sekarang, maksud “intelektual” lebih menjurus kepada bidang ilmu. Jesteru, dunia telah memisahkan bidang keilmuan pada banyak cabang. Antaranya ialah ilmu perubatan, ilmu saintis, ilmu pendidikan, ilmu ekonomi, dan lain-lain. Individu yang memiliki keilmuan seperti ini akan dianggap sebagai golongan intelektual. Semakin banyak ilmu yang dimilikinya menjadikan dirinya disegani. Jika mencapai suatu tahap lagi, dia akan dikenali sebagai pakar dalam bidang yang diceburinya.

Situasi sedemikian telah mendorong masyarakat untuk meminati dan mempelajari ilmu dengan sebaik mungkin. Sistem pendidikan negara turut menggalakkan suasana persaingan yang lebih kompetitif. Perkara ini boleh kita lihat menerusi sistem peperiksaan yang diaplikasikan pada bangku sekolah rendah mahu pun menengah. Maka kita dapat melihat kelahiran cendiakawan yang pintar dengan keputusan akademik yang mantop. Di samping itu, perkara ini juga telah dieksploitasikan ramai pihak, misalnya menentukan sekolah manakah yang lebih bagus melahirkan golongan ahli fikir yang terhebat. Jadi tidak hairanlah jika adanya pengiktirafan akan diberikan kepada pihak sekolah yang mencapai akademik cemerlang. Di sinilah masalah kesalahfahaman terhadap “intelektual” itu bermula. Hal ini berlaku apabila kita gagal menyimbangkan dua elemen penting, iaitu ilmu dan akhlak. Maka masyarakat kita telah membuat kesilapan yang besar dalam memahami maksud “intelektual”. Contohnya lihat sahajalah perangai remaja kita pada hari ini. Mereka hidup bebas dengan menjadikan budaya barat itu sebagai cara hidup. Perhatikan sajalah keadaan tengah kota raya, pasti kita akan terserempak dengan kekasih berpelukan tanpa mempedulikan orang disekeliling. Ada juga yang keasyikan sedang berkhalwat di sudut-sudut tersembunyi. Tidak cukup dengan itu lagi, kita juga akan tersempak dengan sekumpulan budak sekolah sedang melepak dan ada juga yang pergi memperhambakan diri mereka di pusat-pusat cyber game.

Fenomena yang penuh masalah ini telah menunjukkan akan situasi masyarakat kita sekarang. Sedarlah kita bahawa masyarakat kita telah dilanda sesuatu penyakit yang dikenal sebagai permisivisme dan hedonism. Permisivisme ialah suatu fahaman yang serba membolehkan segalanya, manakala hedonisme pula merupakan fahaman yang mengutamakan pemuasan nafsu dunia. Kedua-dua penyakit ini telah memimpin masyarakat kita jauh daripada kehidupan yang hakiki. Saban hari, kita melihat perubahan demi perubahan berlaku pada kebudayaan di negara kita. Inilah bukti kejayaan pengaruh budaya barat yang menular di kalangan masyarakat. Kita semakin kehilangan nilai-nilai islam yang pada asasnya suatu ketika dahulu diaplikasikan masyarakat. Negara kita melahirkan puluhan ribu generasi intelektual dalam setiap tahun. Namun, nilai itu tidak dapat membantu untuk mempertahankan peradaban ketimuran islam yang kita miliki. Kita berharap agar golongan intelektual yang dilahirkan dapat memercu masyarakat kita ke sebuah peradaban yang terbaik, islami, mahu pun cemerlang. Namun, harapan terbabit tidak kesampaian. Maka kita semua telah melakukan satu kesilapan besar dalam perkara ini.

Tiada ulasan: