5/15/2009

Pembentukan Masyarakat Madani

SERING kali ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara tidak baik. Mereka mengatakan Islam menindas dan menghalang pembangunan. Malah, ada juga mengatakan jika mengamalkan Islam, kita tidak akan maju, tidak berakhlak dan sebagainya.



Mereka ini sebenarnya gagal melihat keindahan Islam kerana tidak mengamalkan agama Islam sebagai tata kehidupan.



Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar daripada matlamat mencari keredaan Allah serta ibadah kepada Pencipta.



Islam menekankan pembangunan modal insan berasaskan kepada ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ini kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah dan khalifah yang diberi kelebihan serta kekuatan ilmu.



Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak mulia, ilmu pengetahuan berpaksikan kepada keesaan Allah dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri.



Namun, apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak mulia atau menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi, umat Islam ketinggalan dalam kebanyakan bidang kerana meninggalkan agama dalam kehidupan mereka.




Kesibukan ibu kota negeri sabah. Perkara ini sebahagian daripada rutin harian yang antara lain memaku aktiviti masyarakat



Apa saja yang dinasabkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai. Mereka mencemuh akhlak Islamiah sebaliknya mendewa-dewakan apa saja yang dibawa dari Barat.



Semua perkara dilihat hanya daripada lensa Barat, mengetepikan panduan dan syariat yang digariskan oleh Islam.



Keperibadian Muslim yang unggul mengikut Hassan Al-Banna, hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai 10 ciri yang jitu lagi mantap. Semua ciri itu saling lengkap melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam.



Antara ciri itu ialah akidah yang bersih, ciri amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan sebenar. Dengan adanya aqidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir daripada landasan syariat Islam.



Penyucian akidah ummah, iaitu mengembalikan ummah kepada landasan kehidupan islami sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah memimpin masyarakat Arab keluar daripada kepompong kejahilan. Adalah menjadi harapan kita semua, generasi yang dibentuk mampu memercu ummah bergerak ke hadapan buat masa sekarang



Ia juga adalah piawaian ke arah penyerahan diri seperti diikrarkan dalam solat. Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semuanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Ibadat yang betul akan menjurus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi mulia.



Ini menunjukkan sesuatu ibadat itu mestilah berpandukan sumber yang betul iaitu al-Quran dan sunnah serta sumber lain yang diterima ulama.



Ibadat dilakukan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk tetapi adalah manifestasi pengabdian diri kepada Maha Pencipta.



Akhlak mulia juga adalah elemen penting pembentukan sahsiah diri. Perilaku itu harus dimiliki setiap Muslim kerana akhlak mulia bukan saja akan menjaga hubungan antara makhluk tetapi juga hubungan antara makhluk dan Penciptanya.




Sikap rajin.. sentiasa berusaha keras dalam melakukan kerja adalah tuntutan disisi agama. Allah swt tidak sangat menyukai orang-orang yang malas. Apatah lagi, jika sanggup melakukan penipuan demi kepentingan peribadi semata-mata


Di samping itu, kekuatan jasmani tidak boleh dikesampingkan. Daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama, diberi perhatian dalam Islam. Islam tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan Allah.



Ini jelas dilihat kerana beberapa amalan dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji. Kekuatan jasmani juga menjadi benteng pencegahan kepada pelbagai penyakit.



Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek adalah aset kepada masyarakat. Oleh demikian, seorang Muslim perlu memiliki wawasan luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui oleh orang lain.



Pembinaan moral mahu pun penyucian mentaliti itu penting dalam keberkesanan sesebuah dakwah



Tekad untuk berjuang melawan hawa nafsu juga suatu kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlu ada semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk. Kesungguhan melawan hawa nafsu perlu disemai dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.



Pandai menjaga waktu adalah faktor penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Umpamanya Islam mengajar perancangan waktu seperti solat pada awal waktu. Solat pada awal waktu perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai pengurusan masa yang tepat. Setiap tindakan perlu dirancang mengikut waktu yang sesuai.



Kemahiran menjaga waktu akan menghasilkan disiplin dalam urusan. Ciri itu memerlukan profesionalisme, kesungguhan, semangat dan pengorbanan untuk menjadikan sesuatu perkara itu dapat dijayakan dengan cemerlang.



Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan jika kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan serta ekonomi dan. Ciri itu akan menghakis sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa prihatin kepada orang lain.





Keharmonian, di samping persefahaman yang kuat adalah jambatan integriti masyarakat islam khususnya pada zaman globalisasi.



Seseorang Muslim perlulah berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika beliau tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan sahabat handai.



Semua ciri yang digariskan Hassan Al-Banna bagi membangunkan modal insan. Walaupun ia diberikan nama baru, namun ulama terdahulu sudah membincangkannya dengan panjang lebar seperti olahan yang dibuat oleh Hassan Al-Banna.



together.. let's make a supreme unity for our ambitious


Dasar itu merangkumi penambahbaikan sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat. Pembangunan kemahiran keusahawanan juga diberi penekanan dalam rancangan berkenaan.



Jika formula pembangunan modal insan itu digarap dengan mengambil kira ciri yang sudah ditentukan oleh Hassan Al-Banna, sudah pasti negara akan mencapai kecemerlangan kerana adunan itu akan menghasilkan natijah positif di mana insan yang dibangunkan menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia.



Justeru, lahirlah manusia yang mengejar kebaikan di dunia dan tidak sekali-kali mengabaikan persediaan mereka di akhirat kelak. Penghayatan sebenar terhadap syariat Islam amatlah penting bagi membangunkan modal insan di Malaysia.



Tiada ulasan: